Shopping Cart

PULAU TERCANTIK

10 Pulau Tercantik Di Malaysia

Malaysia adalah sebuah negara yang terkenal dengan pulau-pulau tropika disebabkan oleh kekayaan dengan pulau-pulau tercantik yang dapat menenangkan jiwa bukan sahaja di sekitar luar negara malah di dalam Semenanjung ataupun Sabah dan Sarawak juga ada.

Pulau Tercantik di Malaysia

Pulau- pulau setiap negeri di Malaysia mempunyai keunikkannya tersendiri. Hal ini jelas bahawa ramai pelancong yang memilih pulau untuk percutian mereka. Bukan itu sahaja dengan adanya pulau tercantik di Malaysia pelancong tidak perlu bersusah-payah menempah tiket penerbangan untuk ke negara lain bagi menikmati keindahan alam semula jadi ini. Keindahan pulau-pulau di Malaysia sememangnya setanding dengan keindahan pulau-pulau terkenal yang terdapat di luar negara.

Tak tahu dan konfius untuk memilih pulau yang mahu dituju semasa bercuti ? Jangan risau, disini terdapat 10 pulau tercantik di Malaysia yang boleh anda sekeluarga bercuti serta nikmati pemandangan pulau-pulau yang cantik dengan tenang dan gembira.

1. Pulau Langkawi, Kedah

Pulau Langkawi adalah pulau tercantik menjadi keutamaan pelancong untuk bercuti. Bukan itu sahaja untuk pengetahuan Langkawi merupakan salah satu daripada daerah dalam negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Kini, pulau tercantik yang kaya dengan keindahan semula jadi dan lagenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi perlancongan yang paling popular di Malaysia.

Pulau-pulau ini mempunyai cerita mitos zaman-berzaman dan juga kisah lagenda yang menarik. Kisah yang paling popular dan diketahui oleh ramai orang ialah Kisah Lagenda Mahsuri Wanita Berdarah Putih. Selain itu, pulau ini juga merupakan salah satu tempat yang sangat strategik dan sesuai untuk merehatkan minda, bersantai bersama keluarga di tepian pantai-pantai yang berpasir putih, menikmati keindahan air terjun, meneroka hutan hijau yang kaya dengan flora dan fauna dan banyak lagi.

Antara pantai-pantai yang cantik di pulau Langkawi adalah pantai Cenang, pantai Tanjung Rhu, pantai Pasir Hitam, pantai Teluk Yu, pantai Kok, pantai Datai, dan juga pantai Tengah.

Selain menjadi tempat untuk bercuti, Pulau Langkawi juga merupakan tempat yang bebas cukai. Kebanyakkan pelancong yang datang tidak akan melepaskan peluang untuk membeli belah di pulau Langkawi ini kerana harga barang yang sangat murah berbanding dengan tempat lain.

2. Pulau Perhentian, Terengganu

Pulau Perhentian yang terletak di sekitar 10 batu nautika (19km) dari pantai dalam timur laut Besut, Terengganu. Mungkin ramai yang biasa dengar tentang pulau tercantik seperti Pulau Perhentian ini, tetapi mungkin juga ramai yang tidak tahu pulau tercantik ini terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Kecil. Mesti nak tahu kan apa berbezaannya ?

Pulau Perhentian Besar adalah sebuah pulau yang sesuai untuk seseorang yang menginginkan tempat yang suasananya tenang dan aman semasa bercuti. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di pulau ini seperti snorkeling dan Scuba Diving. Bukan itu sahaja di sini jugalah terletaknya beberapa buah resort yang indah untuk menikmati pengalaman percutian yang sempurna.

Pulau Perhentian Kecil pula adalah pulau yang suasananya sangat meriah dengan kunjungan pelancong untuk menikmati suasana pantai dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan tidak kira malam atau siang. Tempat tersebut adalah tempat yang paling terkenal disini iaitu Long Beach atau dipanggil Pantai Panjang. Bukan itu sahaja, salah satu sebab kenapa Pulau Perhentian Kecil ini lebih menjadi tumpuan adalah kerana terdapat banyak penginapan-penginapan bajet yang tersedia di sini.

Percutian lebih bermakna dan selesa jika anda ada BAkini.

3. Pulau Kapas, Terengganu

Pulau Kapas merupakan sebuah pulau kecil yang cukup terkenal di Pantai Timur dan ia terletak 6 km dari jeti Marang. Pulau ini juga terkenal dengan keindahan laut yang suasananya sangat tenang dan percutian disini juga jauh lebih murah berbanding dengan pulau yang lain.

Kecantikan dan keindahan pulau ini tidak dapat dinafikan lagi dalam kalangan penggemar pulau peranginan di Malaysia dan untuk pengetahuan nama Pulau Kapas diambil daripada pokok kapas yang kebiasaanya digunakan untuk membuat kapas dan kain serta pasir pantainya yang putih bersih serupa macam kapas.

Pulau tercantik di terengganu ini mempunyai keindahan laut yang sangat cantik dan sangat sesuai untuk para pelancong melakukan aktiviti scuba diving supaya dapat melihat keindahan dasar laut. Pelbagai aktiviti yang menarik dapat dilakukan di sini seperti scuba divingsnorkeling, berkayak, memancing, jungle trekking dan sebagainya. Aktiviti terkenal di sini ialah mencandat sotong yang rancak dilakukan pada bulan Jun-Julai setiap tahun.

4. Pulau Pangkor, Perak

Pulau Pangkor memiliki bentuk muka bumi yang berbukit-bukau, dan masih segar ditumbuhi pokok-pokok yang hijau. Pulau ini terkenal sebagai destinasi pelancongan yang sangat menarik untuk dilawati bersama keluarga kerana banyak aktiviti yang menyeronokkan boleh dilakukan di sini.

Pulau Pangkor juga sebuah pulau yang padat dengan sejarah kerana pada suatu ketika dahulu ia pernah dijadikan sebagai kawasan kubu pertahanan pihak Belanda daripada serangan musuh. Disebabkan itu, terdapat banyak lokasi-lokasi bersejarah yang menarik boleh dikunjungi di pulau ini seperti kota Belanda, Batu Bersurat dan kawasan Perkuburan Belanda.

Asal-usul nama Pulau Pangkor adalah daripada bahasa Thai ‘Pang Ko’ yang bermaksud pulau yang cantik. Namanya yang menggambarkan keindahan pulau ini dapat menarik para pelancong untuk bercuti disini. Tarikan lain pula sudah semestinya terdiri daripada pantai-pantai yang terdapat di sini yang masing-masing menawarkan keindahan yang menenteramkan jiwa. Anda juga boleh menyewa bot untuk melawati pulau-pulau lain yang terletak berdekatan seperti Pulau Giam, Pulau Mentangor dan Pulau Pangkor Laut.

5. Pulau Sipadan, Sabah

Pulau Sipadan ini adalah destinasi yang ramai pelancong ingin bercuti atau berbulan madu kerana panorama laut yang kelihatan cantik dan indah sehingga terbawa-bawa ke mimpi dengan panahan warna-warni terumbu karang dan kepelbagaian spesies ikan yang berenang bebas.

Pulau Sipadan ini juga merupakan satu-satunya pulau samudera di Malaysia daripada batu kapur dengan ketinggian 600 meter dari dasar laut. Ia terkenal sebagai pilihan bagi aktiviti menyelam skuba (scuba diving) dan antara yang terbaik di dunia.

Kepada pelancong yang ingin menerokai kawasan perairan di sekitar Pulau Sipadan seperti lokasi hotspot menyelam adalah Coral Garden, Drop Off, Barracuda Point dan Turtle Cavern.

6. Pulau Tioman, Pahang

Keindahan alam semula jadi yang sangat cantik iaitu Pulau Tioman yang terletak di Negeri Pahang. Pulau Tioman Pahang adalah satu pulau yang kecil dan ia terletak sejauh 32km dari pantai barat negeri Pahang. Pulau tercantik ini juga salah satu tempat yang menarik untuk dijadikan tempat bercuti bersama keluarga untuk mencipta kenangan manis.

Sebahagian besar pulau ini terdiri daripada hutan tebal dan di dalam lautannya kaya dengan khazanah laut terumbu karang yang menjadikan Pulau Tioman sebagai lokasi popular kepada penyelam serta mereka yang meminati aktiviti snorkeling.

Pada tahun 70an, TIME Magazine pernah menobatkan Pulau ini sebagai salah satu daripada pulau tercantik di dunia. Tidak hairanlah ramai pengunjung dalam dan luar negara ramai yang berkelah serta memilih Pulau Tioman ini sebagai salah satu lokasi percutian mereka.

Pulau ini boleh di akses melalui 2 jeti, iaitu Jeti Mersing, Johor dan juga di Jeti Tanjung Gemuk, Pahang dengan menaiki bot atau feri. Selain daripada pengangkutan laut, anda juga boleh menggunakan pengangkutan udara ke Pulau ini daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Kuala Lumpur dan juga Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura.

7. Pulau Redang, Terengganu

Pulau yang terletak di perairan Laut China Selatan ini merupakan salah satu pulau yang terbesar di Pantai Timur. Pulau ini dipanggil Pulau Redang dimana ianya adalah tapak pemuliharan penyu di Terengganu. Seperti yang sedia maklum, penyu kini merupakan binatang yang hampir pupus. Jadi di Pulau Redang ini lah berlakunya proses pemuliharan penyu bagi memastikan haiwan itu terus kekal.

Jelaslah bahawa pulau tercantik ini boleh dijadikan pilihan utama untuk bercuti kerana ia adalah pulau yang terbesar di bahagian pantai timur negara ini. Bagi pelancong yang ingin melihat penyu boleh datang ke pulau ini.

Banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan semasa bercuti bersama keluarga di pulau ini antaranya ialah jungle trekking, snorkeling, Scuba Diving, membebaskan penyu ke laut dan banyak lagi aktiviti.

8. Pulau Rawa, Johor

Pulau ini diberi nama Rawa bersempena nama Melayu tempatan bagi burung merpati putih yang menetap di kepulauan ini. Pulau Rawa ini terletak di Mersing, Johor. Oleh kerana orientasi utara-selatan pulau ini yang unik, pasir pantainya yang putih masih agak diselindung daripada perairan yang terbuka di Laut China Selatan.

Kawasan Pulau Rawa ini dikelilingi dengan lautan yang biru membuatkan pengunjung berasa tenang apabila sampai di sini. Pulaunya pula cantik dengan alam semula jadi yang menghijau yang dapat diterokai untuk orang yang sukakan aktiviti lasak.

9. Pulau Mabul, Sabah

Pulau Mabul merupakan pulau yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi kerana kedudukkan pulau yang jauh daripada bandar. Hal ini dapat membuat seseorang berasa tenang dan dapat merehatkan minda daripada kerja-kerja di kota.

Pulau Mabul juga merupakan salah satu lokasi untuk penyelaman air cetek (muck-diving). Pulau ini dikelilingi dengan pantai yang berpasir dan ia juga dapat melihat keindahan mata terbit yang sangat cantik pada waktu pagi.

Pada waktu malam pula, dapat melihat cahaya bintang yang sangat jelas memandangkan pulau ini jauh dari sebarang pencemaran cahaya atau ‘red polution’ seperti di kawasan bandar.

10. Pulau Besar, Johor

Pulau Besar terletak 15km di luar persisiran pantai di sebelah timur daerah Mersing di Johor. Ia dikelilingi oleh berbilang pulau-pulau kecil dan merupakan destinasi percutian pantai yang menarik kerana mudah diakses dengan bot dari Mersing yang hanya memerlukan setengah jam. 

Sebelumnya Pulau Besar ini dikenali sebagai Pulau Babi Besar kerana populasi babi hutan yang bebas berkeliaran di pulau ini. Kalau orang dengar, mesti semua takut dan seram kan? jangan risau, sekarang populasi babi -babi liar sudah tiada dan orang ramai boleh menikmati keindahan pulau yang cantik ini dengan senang hati dan tenang.

Pulau Besar ini lebih kurang sama saiznya dengan Pulau Sibu dan lebih besar daripada Pulau Rawa. Terdapat beberapa resort yang ringkas di sebelah Barat Pulau Besar. Namun, orang ramai lebih mengenali Pulau Sibu dan Pulau Rawa daripada Pulau Besar. Inilah sebabnya Pulau Besar menjadi pilihan destinasi pelancong yang lebih menggemarkan suasana pulau yang lebih sepi dan eksklusif.

Itulah dia destinasi-destinasi pelancongan pulau di Malaysia yang tidak ramai yang tahu tetapi bertaraf dunia dari segi kecantikannya. Masing-masing mempunyai keunikannya yang tersendiri dan terpulanglah untuk anda sekeluarga untuk merancang dan memilih tempat percutian yang sesuai dan berkenan di hati.

Untuk maklumat lebih lanjut boleh layari Tourism Malaysia.

2 comments

  1. pemilik
    BHOARI SHAH BIN ISMAIL

  2. tambah lagi 3 pulau di sabah
    1:pulau 3
    2:pulau layang-layang
    3:pulau mengalun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Free Shipping Semenanjung Malaysia

On all orders above RM500

Easy 30 days returns

30 days money back guarantee

High Quality Product

for all our product

100% Secure Checkout

PayPal / MasterCard / Visa